Buat Anak Didik dari Guru-guru

14 05 2008

Assalamu’alaikum wa rahmatullah 🙂

Selama 16 tahun menjadi guru, telah banyak puisi, pantun, gurindam, syair, nasyid yang dibaca dan didengar.

Terima kasih dan jazakumullahukhairan kepada anak-anak didik yang mencipta, mendendang, mendeklamasi dan menyanyikan segala gubahan dan luahan rasa kepada kami, guru-guru.

Harapan kami sebagai pendidik, suburkanlah kelebihan yang Allah kurniakan dengan iman dan taqwa. InsyaAllah, kesejahteraan di dunia dan akhirat bakal diperolehi. Tiada yang lebih gembira bagi seorang guru melainkan menerima berita bahawa anak didiknya menjadi seorang manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara; memperjuangkan Islam, menghidupkan da’wah, hidup dan mati kerana Allah SWT.

Ingin Ummi kongsikan pantun dan puisi yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Puisi yang menjadi sumber inspirasi dan ubat ketika diri dihinggapi keletihan, kekecewaan, kesedihan dan ketika hampir putus asa dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang pendidik. Puisi ini juga yang sering dibaca sebagai muhasabah diri apabila keikhlasan mula goyang dengan kerenah anak didiknya. Semuga menjadi inspirasi buat rakan2 guru dan panduan buat anak-anak didik yang disayangi…

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi..

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah Ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulamak yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibukota
Di bangunan tua sekolah hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

(Usman Awang 1979)

Kepada insan2 yang pernah mengajarku erti kehidupan dan pengorbanan, memberi nasihat dan teguran, mengajarku erti kemanusiaan dan ketuhanan… terima kasih dan jazakumullahukhaira n katheera…. …

Ummi,
SM Teknik Kemaman (1992 – 1993)
SM Teknik Melaka Tengah, Bukit Katil, Melaka (1993 – 1995)
SM Teknik Melaka, Bukit Piatu, Melaka (1995 – kini)

Lawati weblog krj Melaka di krjmelaka.wordpress .com
Email kami di krjmelaka@gmail. com
(012 6590352)

oleh Ummi Kamariah

Advertisements