Pantun Teka-teki

12 05 2008

Salam 3S penuh ceria buat adik-adik walau dimana anda berada….

Apa kata kita ceriakan hari ini dengan menguji minda meneka apa jawapan kepada teka-teki di bawah.

Ada seekor burung pekaka
Hinggap turun di atas batu
Kalau adik pandai meneka
Apa binatang tulangnya satu?

Anak desa bermain pena
Mari dimain Datuk Temenggong
Kalau adik bijak laksana
Apa binatang duduk tergantung?

Bawa kerakap dengan batangnya
Buat bekal pergi ke bendang
Cuba teka apa binatangnya
Berbunyi seperti gong dan gendang

Buah kundur di dalam raga
Orang tak tahu mengata semangka
Siang tidur malam berjaga
Kalau tau cubalah teka

Hari-hari ke rumah Pak Tam
Melihat orang memotong tebu
Apa binatang darahnya hitam
Janggutnya lapan tulangnya satu?

Jikalau adik mengambil cendana
Ambil gantang sukatkan bertih
JIkalau adik bijak laksana
Apa binatang darahnya putih?

Kalau ada tombak kencana
Gunung daik boleh didaki
Kalau adik bijak laksana
Apa binatang tanduk dikaki?

Kalau adik bawa keladi
Bawa juga sipucuk rebung
Kalau adik bijak laksana
Apa binatang tanduk dihidung?

Kalau adik pergi ke kedai
Belikan ummi sekati pulut
Kalau adik bijak pandai
Apa binatang tanduk dimulut?

Tanjung Rambutan tanahnya landai
Tempat bertanam padi pulut
Kalau adik sungguhnya pandai
Apa binatang berkeris dimulut?

Kalau adik pergi ke gerai
Belikan ummi sarung kaki
Kalau adik orang yang pandai
Binatang apa tidak berkaki?

kalau adik tombak rencana
Ambil gantang sukat pala
Kalau adik bijaksana
Apa binatang tiada kepala

Ini dia orang Sarawak
Datang ke sini naik perahu
Kalau adik segala bijak
apa ikan yang mudik dulu?

Okay…..selamat mencuba….
Jumpa lagi dengan pantun teka-teki bertemakan tumbuh-tumbuhan pula….

Sayang semua,
Ummi Kamariah,
KRJ Melaka.